Pengurusan masjid di Kelantan disifatkan unik dan berbeza berbanding negeri lain terutama dari segi pengimarahan masjid serta penglibatan masyarakat dalam aktiviti ilmu dan keagamaan.
Peserta Program Jaulah Al Farabi “Lawatan Kenali Kelantan”, Rozita Hassan, 52, berkata lawatan ke beberapa masjid di negeri ini memberi gambaran jelas tentang peranan masjid sebagai pusat ilmu yang aktif dan sentiasa hidup dengan pengajian agama.
“Kita dapat lihat hampir setiap masjid ada kuliah selepas solat dan masyarakatnya aktif dengan aktiviti keilmuan.
“Pengurusan masjid di Kelantan jauh berbeza dengan tempat lain kerana sentiasa hidup dengan pengajian dan suasana Islamik,” katanya ketika ditemui pada Ahad lalu.
Program Jaulah Kenali Budaya Islam di Pantai Timur
Program anjuran Sekolah Islam Al-Farabi, Klang, Selangor itu berlangsung pada 2 hingga 3 Mei dengan penyertaan seramai 45 peserta bagi mengenali budaya serta pengamalan Islam di Pantai Timur.
Pengarah program, Siti Norathikah Shamsul Bahari berkata, konsep jaulah yang memfokuskan lawatan ke masjid memberi pengalaman berbeza kepada peserta.
“Tujuan kami adalah untuk mencari tempat-tempat menarik dengan menekankan lawatan ke masjid. Di Terengganu kami melawat empat masjid dan di Kelantan juga empat masjid.
“Kita mahu memperkenalkan keistimewaan negeri Pantai Timur khususnya Kelantan yang boleh dijadikan contoh dari sudut Islamik,” katanya.
Antara Masjid Dilawati di Kelantan
Antara masjid yang dilawati peserta sepanjang program tersebut ialah Masjid Imanul Faizin di Melor, Masjid Ar-Rahman Kubang Batang di Tumpat, Masjid Jamek Muhammadi di Kota Bharu serta Masjid Kampung Laut di Tumpat.
Menurut Siti Norathikah, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan ilmu kepada peserta, malah turut menjadi medium mengumpul dana bagi pembangunan sekolah.
“Kita juga terbuka kepada penyertaan orang ramai. Tujuan jaulah ini adalah untuk menambah dana bagi membaik pulih serta pembangunan sekolah rendah dan menengah kami,” jelasnya.
Peserta Kagum Budaya dan Keharmonian Masyarakat Kelantan
Seorang peserta, Abu Bakar Kamari, 56, menyifatkan program tersebut sebagai peluang terbaik untuk mendekati warisan serta sejarah ulama di Kelantan.
“Banyak perkara yang menarik seperti budaya, makanan dan juga sejarah ulama yang lahir dari negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Imam Masjid Nurul Amin Klang, Abdul Rahim Mohd Azhar, 26, berkata lawatan itu memperlihatkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Kelantan yang menjadikan Islam sebagai asas kehidupan.
“Saya lihat masyarakat di sini hidup harmoni tanpa mengira kaum dan Islam menjadi asas dalam kehidupan seharian,” katanya.
Identiti Islam Kelantan Jadi Tarikan
Seorang lagi peserta, An-Nur Hasanah Abu Bakar, 26, turut tertarik dengan identiti Islam yang jelas dalam kehidupan masyarakat Kelantan.
“Saya nampak kebanyakan wanita bertudung dan penggunaan tulisan jawi di premis perniagaan sangat meluas,” katanya.
Program Jaulah Al Farabi dilihat berjaya membuka mata peserta mengenai keunikan budaya Islam dan pengimarahan masjid di Kelantan yang terus menjadi identiti negeri itu.
Sumber/rujukan inforakyat
