PGA Tahan Lelaki, Rampas 210kg Ganja Bernilai RM700,000 di Pasir Mas

Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan seorang lelaki serta merampas sebanyak 210 kilogram dadah jenis ganja bernilai lebih RM700,000 dalam satu operasi khas di Kampung Kubang Puyu Meranti, malam tadi.

Tangkapan kira-kira jam 8.30 malam itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan ketika anggota PGA sedang menjalankan rondaan bermotosikal di kawasan berkenaan.

Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, pihaknya mengesan sebuah kereta Proton Saga dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya.

Namun, suspek bertindak melarikan diri dengan memecut laju, menyebabkan anggota PGA terpaksa mengejar sejauh hampir 10 kilometer sebelum berjaya memberkas lelaki berusia 35 tahun itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi 210 kilogram tumbuhan kering dipercayai ganja,” katanya.

Suspek kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut, manakala semua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Sumber/rujukan Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *