Kegiatan penyeludupan petrol RON95 berjaya dibongkar selepas seorang lelaki dikesan mengisi minyak sebanyak dua kali di stesen minyak sama di Kampung Laut dalam tempoh kira-kira sejam setengah.
Aswadi Jaafar berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan dan pemantauan bersama Pasukan Polis Marin (PPM).
Menurutnya, kenderaan jenis Mitsubishi Pajero tersebut membuat pengisian petrol sekitar jam 8.05 pagi sebelum kembali mengisi minyak sekali lagi pada jam 9.36 pagi di stesen sama.
Tangki Kenderaan Diubah Suai Untuk Simpan Petrol
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan terbabit menggunakan tangki yang telah diubah suai dengan saluran hos lebih besar daripada spesifikasi asal bagi menyimpan petrol dalam kuantiti lebih banyak.
Katanya, pasukan penguat kuasa turut merampas kira-kira 90 liter petrol disyaki RON95 bersama dua keping resit pembelian minyak.
KPDN Turut Siasat Stesen Minyak
Susulan penahanan itu, pihak KPDN turut menjalankan pemeriksaan terhadap stesen minyak terbabit kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan berkaitan larangan penjualan petrol RON95 secara berulang kepada kenderaan sama pada hari yang sama.
Beberapa dokumen operasi stesen termasuk lesen, buku stok runcit dan salinan resit jualan minyak turut disita bagi membantu siasatan lanjut.
Nilai Rampasan Lebih RM10,000
Menurut Aswadi, nilai keseluruhan sitaan termasuk kenderaan dianggarkan sebanyak RM10,361.80.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi membanteras kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan di Kelantan.
Sumber/rujukan Berita Harian
