Pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini sesak dengan ribuan rakyat Thailand yang pulang ke negara mereka sempena Aidilfitri.
Tinjauan mendapati orang ramai mula berkumpul seawal 4.30 pagi, manakala kesesakan kenderaan dilaporkan melebihi satu kilometer menuju ke pintu sempadan.
Seorang perantau, Sakeena Rohman, 38, berkata kesesakan itu sudah dijangka berikutan peningkatan jumlah rakyat Thailand yang pulang sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, pengusaha motosikal tambang, Azhar Abdullah, 52, berkata situasi tersebut turut memberi rezeki kepada mereka apabila ramai menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk mempercepatkan pergerakan.
Menurutnya, kesesakan dijangka berterusan sehingga pagi Aidilfitri susulan peningkatan jumlah perantau dari selatan Thailand yang menggunakan laluan tersebut.
Sebelum ini, waktu operasi ICQS di Rantau Panjang telah dilanjutkan bermula jam 6 pagi bagi menampung pertambahan pengguna sempena musim perayaan.
