Ketua Menteri baharu Tamil Nadu, C Joseph Vijay mengambil langkah tegas dengan mengarahkan penutupan 717 kedai arak di negeri itu dalam tempoh dua minggu.
Arahan tersebut dikeluarkan hanya beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas kemenangan parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dalam pilihan raya negeri.
Kedai Arak Berhampiran Rumah Ibadat Dan Sekolah Ditutup
Menurut kenyataan rasmi kerajaan Tamil Nadu, penutupan melibatkan kedai arak di bawah kendalian Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC) yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 276 kedai berada berhampiran rumah ibadat, 186 berhampiran institusi pendidikan manakala 255 lagi berhampiran stesen bas.
TVK Bentuk Kerajaan Dengan Majoriti DUN
Parti TVK yang dipimpin Vijay memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya Tamil Nadu sebelum berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan parti lain sehingga memperoleh majoriti 118 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 234 kerusi.
Langkah penutupan kedai arak itu dilihat sebagai antara tindakan awal kerajaan baharu dalam menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuh dasar sosial negeri.
Agenda Tamil Nadu Bebas Dadah
Sebelum ini, manifesto pilihan raya TVK turut menjanjikan usaha menjadikan Tamil Nadu sebagai negeri bebas dadah.
Kerajaan negeri turut memaklumkan audit akan dijalankan ke atas semua 4,765 kedai arak TASMAC bagi mengenal pasti premis yang melanggar syarat lokasi ditetapkan.
Sumber/rujukan Berita Harian
