Kerajaan dijangka mempertimbangkan pengurangan kuota petrol RON95 di bawah Program Budi Madani 95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 150 liter bagi menjamin bekalan bahan api negara susulan krisis bekalan global akibat konflik geopolitik Asia Barat.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata, data semasa menunjukkan majoriti rakyat Malaysia menggunakan petrol di bawah kadar tersebut.
Menurutnya, sebanyak 80 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan, manakala 60 peratus lagi menggunakan kurang daripada 150 liter.
Kerajaan Kaji Pengetatan Subsidi Bersasar
Beliau berkata demikian ketika sesi ‘Fireside Chat’ bertajuk Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better sempena program AFFIN Market Outlook Conference 2026.
Katanya, kerajaan turut meneliti langkah memperketatkan pemberian subsidi termasuk mengecualikan golongan T15, T20 dan warga asing daripada menikmati subsidi bahan api.
Sebelum ini, kuota BUDI95 ditetapkan pada 300 liter sebelum diselaraskan kepada 200 liter bermula April lalu dengan harga RM1.99 seliter.
Konflik Asia Barat Tingkat Kos Subsidi Negara
Menurut Chin Tong, perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan meningkat hampir 10 kali ganda susulan kenaikan harga minyak mentah dunia akibat konflik geopolitik di Asia Barat sejak Februari lalu.
Beliau menjelaskan program BUDI95 bukan sekadar skim subsidi, sebaliknya menjadi alat pengurusan permintaan bagi memastikan bekalan domestik kekal mencukupi jika krisis global berpanjangan.
Golongan Rentan Terus Dilindungi
Dalam masa sama, kerajaan memberi jaminan bahawa golongan rentan termasuk penunggang motosikal dan isi rumah berpendapatan rendah akan terus menikmati akses kepada bahan api bersubsidi.
Katanya, penunggang motosikal secara purata hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan perlu terus dibantu bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup.
Selain itu, kerajaan juga sedang merancang mekanisme subsidi diesel bersasar untuk Sabah dan Sarawak seperti yang dilaksanakan menerusi program BUDI95.
Sumber/rujukan Sinar Harian
