Industri akuakultur Kelantan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan pengeluaran sebanyak 23,048.45 tan metrik dengan nilai melebihi RM236 juta sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Pencapaian tersebut membuktikan sektor akuakultur semakin penting sebagai pemacu keterjaminan makanan serta penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Akuakultur Pemangkin Keterjaminan Makanan
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, industri akuakultur kini semakin mendapat perhatian dan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai sumber utama pengeluaran protein negara.
Menurut beliau, dalam situasi dunia berdepan cabaran ekonomi dan perubahan iklim, sektor pengeluaran makanan tempatan perlu diperkasakan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.
“Akuakultur merupakan sektor strategik yang mampu menyediakan sumber makanan berkualiti, stabil dan mampu milik kepada rakyat,” katanya.
Kerajaan Negeri Terus Sokong Pengusaha Akuakultur
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan industri akuakultur melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan input, latihan teknikal, pemindahan teknologi serta pembangunan kapasiti penternak.
Sebagai galakan kepada pemain industri, bantuan langsung bernilai lebih RM382,094 turut disalurkan kepada penerima yang layak.
Bantuan Lebih RM382,000 Untuk Pemain Industri
Menurutnya, antara bantuan yang diberikan ialah RM120,000 kepada pemain industri perikanan darat dan RM167,461 kepada pengusaha industri asas tani.
Bantuan tersebut diharap dapat meningkatkan produktiviti pengusaha serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri perikanan dan akuakultur Kelantan secara lebih mampan dan berdaya saing.
Sasar Tingkat Pengeluaran Akuakultur Negara
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan sektor akuakultur sebagai antara bidang strategik dalam agenda keterjaminan makanan negara.
KPKM menyasarkan pengeluaran akuakultur menyumbang 40 peratus daripada jumlah pengeluaran ikan negara menjelang tahun 2030.
Pada tahun 2023, industri akuakultur negara merekodkan pengeluaran sebanyak 506,000 tan metrik dengan nilai keseluruhan mencecah RM4.5 bilion, sekali gus menunjukkan potensi besar sektor tersebut untuk terus berkembang pada masa hadapan.
Sumber/rujukan Inforakyat
