Lelaki Ditahan Miliki 390 Pil Epam, Beli Secara Dalam Talian

Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai memiliki 390 biji pil epam dalam serbuan di Kampung Kedai Geting, Pengkalan Kubor, semalam.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu dijalankan anggota Batalion 7 PGA kira-kira jam 6.40 petang berhampiran sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Dadah Disorok Dalam Poket Seluar

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan menemui 390 biji pil dipercayai dadah jenis epam yang disembunyikan di dalam poket belakang seluar suspek.

Menurutnya, suspek mendakwa bekalan dadah tersebut dibeli menerusi platform dalam talian Lazada dengan harga RM40 sepapan.

“Suspek mendakwa dadah itu untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek Ada Rekod Lampau Dadah

Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau termasuk kes berkaitan dadah.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM5,400.

Kes Disiasat Ikut Akta Dadah Berbahaya

Beliau berkata, kes dan rampasan tersebut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tumpat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber/rujukan Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *