Pasukan Gerakan Am berjaya menahan 360 pendatang tanpa izin (PATI) menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Mei tahun ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata, warga Myanmar merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 264 orang.
Turut ditahan ialah warga Thailand, Bangladesh, Indonesia, India, Vietnam, China, Nepal dan Pakistan.
Sungai Golok Jadi Fokus Operasi
Menurut beliau, operasi tertumpu di kawasan sempadan Sungai Golok yang dikenal pasti sering digunakan untuk aktiviti penyeludupan migran dan kemasukan pendatang tanpa izin.
Katanya, operasi bersepadu di Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu turut membawa kepada penahanan sembilan tekong darat.
Rantau Panjang Antara Lokasi Panas
Antara lokasi panas yang dikenal pasti ialah pangkalan haram di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Jeram Perdah dan Chabang Empat.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 78 serbuan dilaksanakan melibatkan pegawai dan anggota Briged Tenggara PGA serta Batalion 7, 8 dan 9 PGA.
Kesalahan Bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM
Sebanyak 110 kes disabitkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Antara kesalahan dikesan termasuk merentas sempadan secara haram, tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia.
Sumber/rujukan Bernama
