Kes pembunuhan tragis melibatkan seorang pelajar kolej wanita berusia 19 tahun di Ketereh, Kelantan terus mengejutkan negara apabila mangsa ditemui dengan 61 kesan tikaman. Berikut adalah kronologi lengkap kejadian berdasarkan siasatan awal pihak polis.
Pergerakan Mangsa Pada Siang Hari
Mangsa dilihat keluar dari kediamannya di Pelangi Mall Condominium, Kota Bharu sekitar jam 12.26 tengah hari sebelum menaiki sebuah kereta Honda City.
Beliau kemudian singgah di sebuah restoran di Wisma Nik Fatimah sebelum pulang semula ke kediamannya sekitar jam 1.00 petang.
Pergerakan Mangsa Pada Waktu Malam
Pada jam 8.03 malam, mangsa keluar semula dan menaiki kereta Perodua Bezza bersama seorang lelaki.
Sekitar jam 9.15 malam, mangsa berada di sebuah premis makanan di Wakaf Bharu dan dilaporkan makan bersama seorang lelaki yang membayar menggunakan wang tunai.
Mangsa sempat memuat naik status WhatsApp sekitar jam 11.34 malam sebelum kejadian berlaku.
Mayat Ditemui Tengah Malam
Sekitar jam 12.30 tengah malam (1 Mei 2026), orang awam menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di Kampung Simah, Ketereh.
Maklumat rasmi diterima pihak polis lima minit kemudian sebelum mayat dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
Bedah Siasat Dedah 61 Tikaman
Hasil bedah siasat pada jam 9.30 pagi mengesahkan punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.
Menurut Mohd Yusoff Mamat, terdapat 61 kesan tikaman di seluruh badan mangsa, dengan kecederaan tertumpu di bahagian kanan.
Operasi Polis dan Tangkapan Suspek
Polis melancarkan serbuan bermula jam 4.40 petang di dua lokasi di Kota Bharu dan Ketereh.
Pada jam 2.30 pagi (2 Mei 2026), empat suspek berjaya ditahan melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 66 tahun.
Antara barang dirampas termasuk dua kenderaan, telefon bimbit, pakaian dan sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian.
Kes Hampir Selesai, Siasatan Diteruskan
Polis percaya penahanan suspek utama berjaya merungkai kes ini, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Sumber/rujukan Kelantandaily
