Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kawalan polis di stesen minyak sempadan negara akan diteruskan bagi mengelakkan penyelewengan petrol subsidi RON95.
Menurut beliau, ketika ini kira-kira 170 stesen minyak di kawasan sempadan melibatkan Kelantan, Perlis, Johor, Sabah dan Sarawak dipantau pihak polis.
Jualan RON95 Turun, RON97 Meningkat
Katanya, hasil pemantauan mendapati jualan petrol RON95 menurun sehingga 20 peratus selepas kawalan polis dilaksanakan.
Dalam masa sama, jualan petrol RON97 yang tidak menerima subsidi pula menunjukkan peningkatan ketara.
Menurut Saifuddin, situasi itu membuktikan sebelum ini terdapat pihak tidak layak termasuk warga asing membeli minyak subsidi tanpa kawalan ketat.
Kawalan Elak Ketirisan Subsidi Kerajaan
Beliau berkata, kehadiran anggota polis di stesen minyak menyebabkan pihak yang tidak layak berfikir banyak kali untuk membeli petrol subsidi RON95.
Katanya, langkah itu penting ketika kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan bahan api mencukupi dan subsidi sampai kepada rakyat yang benar-benar layak.
Pemprofilan Stesen Minyak Sedang Dilakukan
Beliau berkata demikian ketika sidang media Program Jelajah Wira Madani Briged Tenggara PGA di Kuantan.
Tambah beliau, kementerian kini turut menjalankan pemprofilan terhadap stesen minyak di sempadan bagi mengenal pasti modus operandi penyelewengan dan penyeludupan petrol subsidi.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi mengelakkan ketirisan yang merugikan negara.
Sumber/rujukan Kosmo
