Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India dan Bangladesh dalam satu operasi di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kedai Buloh awal pagi Selasa lalu.
Tangkapan dilakukan kira-kira jam 2.13 pagi selepas pihak berkuasa mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Bayar Ejen Hingga RM12,000
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kamal Mohamad berkata, kesemua PATI terbabit terdiri daripada lapan warga India dan dua warga Bangladesh berusia antara 17 hingga 38 tahun.
Menurut beliau, mereka dipercayai membayar ejen antara RM5,000 hingga RM12,000 seorang untuk memasuki Malaysia secara haram selepas menempuh perjalanan selama seminggu melalui Thailand sebagai negara transit.
Dijanjikan Pekerjaan di Beberapa Negeri
Siasatan awal mendapati kumpulan terbabit dijanjikan pekerjaan dalam sektor dobi dan cucian kenderaan di Johor, Selangor serta Pulau Pinang.
Seorang lelaki warga India yang ditahan bersama isterinya juga didapati fasih berbahasa Melayu dan dipercayai pernah memasuki Malaysia sebanyak dua kali sebelum ini.
Disiasat Bawah Akta Imigresen
Menurut Kamal, semua PATI terbabit memiliki pasport namun gagal mengemukakan rekod perjalanan sah untuk memasuki negara ini.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sumber/rujukan Sinar Harian
