Potensi unsur nadir bumi (REE) di kawasan Ladang Subong, Gua Musang seluas kira-kira 1,416 hektar mula menarik perhatian syarikat dari seluruh dunia untuk melabur di Kelantan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kawasan tersebut kini sedang melalui proses eksplorasi dan pensampelan bagi mengenal pasti jumlah sebenar deposit REE.
Kerjasama Dengan Agensi Jepun
Menurut beliau, projek berkenaan dijalankan dengan kerjasama Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) yang mempunyai kepakaran dalam sektor mineral dan tenaga.
Katanya, kerja eksplorasi itu penting sebelum sebarang aktiviti perlombongan dibenarkan secara komersial.
“Ramai pihak menunjukkan minat dan menghantar cadangan pelaburan melibatkan syarikat dari seluruh dunia,” katanya selepas Majlis Perasmian Kelstone Cosmos Lab di Tunjong.
Kerajaan Negeri Buka Peluang Kepada GLC
Hilmi berkata, kerajaan negeri turut membuka ruang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi negeri untuk terlibat dalam pembangunan industri REE di Kelantan.
Menurut beliau, setiap cadangan pelaburan akan diperhalusi bagi memastikan pembangunan sektor tersebut dilaksanakan secara tersusun dan mematuhi prosedur ditetapkan.
REE Berpotensi Jadi Sumber Ekonomi Baharu
Katanya, potensi REE di Gua Musang dilihat mampu menjadi sumber ekonomi baharu kepada Kelantan sekiranya hasil eksplorasi mendapati kawasan tersebut mempunyai deposit yang berdaya maju.
Tambah beliau, pembangunan sektor mineral strategik itu juga mampu membuka peluang pekerjaan dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negeri ini.
Sumber/rujukan Sinar Harian
