Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menegaskan umat Islam wajib mencari rezeki yang halal dan berkat bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.
Dalam khutbah Jumaat bertajuk Rezeki yang berkat, bahagia dunia dan akhirat, umat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan prinsip agama ketika mencari sumber pendapatan.
Menurut khutbah itu, seseorang tidak seharusnya mengejar kekayaan dengan melakukan rasuah, penipuan, salah guna kuasa atau terlibat dengan perkara haram yang dimurkai ALLAH SWT.
Rezeki Tidak Diukur Pada Jumlah Semata-Mata
Khutbah berkenaan menjelaskan keberkatan rezeki lebih penting daripada jumlah harta yang dimiliki.
Menurut MAIK, rezeki yang banyak tanpa keberkatan tidak akan memberi ketenangan dan kepuasan hidup kepada seseorang.
Sebaliknya, nikmat keberkatan akan lebih dirasai apabila harta digunakan ke arah kebaikan dan perkara yang diredai ALLAH SWT.
Lima Amalan Membuka Pintu Rezeki
Khutbah tersebut turut menghuraikan beberapa amalan yang menjadi kunci kepada rezeki yang luas dan berkat.
Antaranya ialah bertakwa kepada ALLAH SWT, memperbanyakkan taubat dan istighfar, bertawakal selepas berusaha, menjaga silaturahim serta memperbanyakkan sedekah dengan niat ikhlas.
Menurut khutbah itu, hubungan yang baik dengan ALLAH SWT menjadi asas utama untuk memperoleh kehidupan yang diberkati.
Umat Islam Diingatkan Jauhi Perkara Haram
Dalam masa sama, umat Islam turut diingatkan supaya menjauhi segala bentuk perbuatan haram termasuk rasuah, salah guna kuasa, dadah dan bahan memabukkan.
MAIK menegaskan perbuatan tersebut bukan sahaja membawa kehinaan di dunia, malah mengundang balasan buruk di akhirat jika tidak segera bertaubat.
Sumber/rujukan Sinar Harian
