Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 di Kelantan kini mencapai kemajuan lebih 39 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2027.
Izani Husin berkata, projek berkapasiti 25 juta liter air sehari (jlh) itu bakal menjadi penyelesaian utama kepada masalah bekalan air di Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Tambahan Bekalan Air untuk Pasir Mas dan Rantau Panjang
Menurut beliau, Pasir Mas ketika ini menerima bekalan sekitar 75 juta liter air sehari melalui LRA Kelar 1, namun masih memerlukan tambahan kira-kira 15 juta liter sehari bagi memenuhi permintaan semasa pengguna.
Katanya, apabila LRA Kelar 2 siap nanti, lebihan kapasiti air boleh disalurkan ke beberapa kawasan penting di Rantau Panjang termasuk Halal Hub, Kompleks ICQS, Penjara dan Lubok Jong.
Projek Dijangka Siap Lebih Awal
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke tapak projek bersama timbalannya, YB Saizol Ismail dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Sementara itu, Pengurus Kanan Pelaksanaan Projek Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC), Hafadz Kamizi Mat Hassan memaklumkan projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 3 Mac 2027.
Menurutnya, pihak kontraktor turut memberi jaminan pembinaan boleh disiapkan lebih awal sekitar Januari 2027 sebelum melalui proses ujian sistem dan kualiti air.
Fokus Kurangkan NRW di Kelantan
Dalam perkembangan sama, Dato’ Dr Izani berkata kerajaan negeri kini memberi fokus terhadap usaha mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW) atau Air Tidak Terhasil yang masih berada sekitar 55 peratus.
Usaha itu melibatkan pemantauan kebocoran paip dan kerja pembaikan segera bagi mengurangkan kehilangan air terawat di seluruh negeri.
Beliau optimis menjelang tahun 2030, semua loji air di Kelantan mampu menghasilkan sekitar 830 hingga 850 juta liter air sehari dengan liputan bekalan air melebihi 90 peratus.
Sumber/rujukan inforakyat
