Agensi Antidadah Kebangsaan mendedahkan masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja kini berada pada tahap membimbangkan apabila kanak-kanak seawal usia 12 tahun turut dikesan positif dadah sintetik.
Ketua Pengarah AADK, Ruslin Jusoh berkata, kes membabitkan murid sekolah di Kelantan menunjukkan dadah semakin mudah diperoleh termasuk bahan terlarang seperti ‘Mushroom’ yang dicampur dalam cecair vape.
Dadah Sintetik Jejaskan Mental Remaja
Menurut beliau, penggunaan dadah sintetik boleh menyebabkan gangguan mental serius termasuk kemurungan, halusinasi dan kecenderungan membunuh diri.
Katanya, AADK bukan mahu menghukum penagih sebaliknya memberi rawatan awal supaya golongan muda dapat diselamatkan daripada terus terjebak dengan ketagihan dadah.
Golongan Belia Catat Peratus Tertinggi
Ruslin Jusoh berkata, hampir 70 peratus kes dadah di negara ini membabitkan individu berusia antara 19 hingga 40 tahun.
Beliau turut memaklumkan seramai 191,000 individu ditangkap atas kesalahan dadah tahun lalu, selain lebih 50,000 individu kini berada di bawah pengawasan AADK.
Ibu Bapa dan Komuniti Perlu Main Peranan
AADK turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak termasuk keluar lewat malam, ponteng sekolah dan tidak bekerja.
Menurut beliau, masyarakat setempat, ketua kampung dan komuniti juga perlu menjadi mata serta telinga AADK dalam membantu membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja dan belia.
Sumber/rujukan Berita Harian
