Kedudukan rumah yang terlalu rapat, cuaca panas serta tiupan angin kuat dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyebabkan kebakaran di Kampung Gok Kapur merebak dengan pantas sehingga memusnahkan 27 rumah berpenghuni, semalam.
Penguasa Kanan Bomba II merangkap Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, lebih 90 peratus rumah yang terlibat dibina menggunakan struktur kayu yang mudah terbakar.
Jarak Rumah Hanya 2 Hingga 5 Meter
Menurut beliau, jarak antara rumah yang hanya sekitar dua hingga lima meter menyebabkan bahangan api mudah merebak ke kediaman bersebelahan dalam masa yang singkat.
Selain itu, faktor cuaca panas dan angin yang bertiup kencang serta berubah-ubah turut mempercepatkan kemerebakan kebakaran di kawasan berkenaan.
Operasi Pemadaman Libatkan 57 Anggota
Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 1.5 ekar yang menempatkan 45 rumah. Daripada jumlah itu, sebanyak 29 rumah terjejas manakala 27 rumah berpenghuni musnah sepenuhnya.
Insiden tersebut menjejaskan 27 keluarga dengan melibatkan seramai 110 penduduk.
JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 12.34 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi lima minit kemudian sebelum berjaya mengawal kebakaran utama sekitar jam 4 petang.
Operasi pemadaman melibatkan 57 anggota dari empat balai bomba dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Bomba Sukarela.
Punca Kebakaran Masih Disiasat
Khairul Ariffin berkata, siasatan forensik masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, siasatan tertumpu kepada satu lokasi yang dipercayai menjadi titik permulaan kebakaran dengan pelbagai kemungkinan sedang diteliti termasuk kegagalan sistem elektrik, unsur khianat atau faktor lain.
Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran hanya akan disahkan selepas siasatan forensik selesai dijalankan.
Sumber/rujukan inforakyat
