Polis Kelantan berjaya menumpaskan kumpulan jenayah dikenali sebagai ‘Geng Saga’ yang dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah cermin dan curi dalam kenderaan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM23,000.
Kejayaan itu susulan penahanan tiga lelaki berusia antara 49 hingga 56 tahun dalam satu operasi di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Long Yunus pada 30 Mei lalu.
Pelbagai Barangan Dirampas
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan selepas pihak polis menerima laporan berkaitan kes pecah cermin kenderaan di Tunjong.
Menurut beliau, polis merampas dua buah kereta Proton Saga, sebuah komputer riba, empat telefon bimbit, dua beg galas, 10 kad bank, dua pasport antarabangsa, satu MyKid serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.
Suspek Miliki Rekod Jenayah Dan Dadah
Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan 32 rekod kesalahan berkaitan dadah.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Siasatan Masih Diteruskan
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Polis percaya penahanan kumpulan ini berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah cermin dan curi dalam kenderaan yang berlaku di sekitar Kelantan, manakala siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam kes-kes lain.
Sumber/rujukan Harian Metro
