Polis Tumpaskan Sindiket Pecah Rumah Siang Hari di Kota Bharu

Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah siang hari di sekitar bandar ini selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Perol pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, semua suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun itu dipercayai terlibat dalam satu kes pecah rumah pada 28 April lalu yang menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000.

Polis Selesai 13 Kes Pecah Rumah

Menurut beliau, sebelum penahanan tersebut, polis menerima 13 laporan kes pecah rumah membabitkan jumlah kerugian lebih RM400,000 di sekitar daerah Kota Bharu.

Katanya, kejayaan menahan ketiga-tiga suspek berjaya membantu menyelesaikan semua kes berkenaan.

Modus Operandi Pecah Rumah Waktu Siang

Siasatan mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi melakukan pecah rumah pada waktu siang ketika mangsa keluar bekerja.

“Suspek akan melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan rumah mangsa sekitar jam 8 pagi bagi memastikan rumah dalam keadaan kosong sebelum melakukan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Isnin.

Rampasan Barang Kemas dan Kereta

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk 18 utas barang kemas, sebuah kereta, jam tangan dan telefon bimbit.

Menurut Mohd Yusoff, salah seorang suspek merupakan lelaki warga Myanmar berstatus Pemastautin Tetap (PR).

Suspek Positif Dadah dan Ada Rekod Jenayah

Semakan polis mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan 14 kes dadah dan 16 kes jenayah.

Ujian saringan air kencing juga mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Direman Untuk Siasatan Lanjut

Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 13 Mei hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan berkaitan kes pecah rumah.

Sumber/rujukan Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *