Penuntut Kolej Didakwa Kes Bunuh Di Ketereh

Seorang penuntut kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh Nurfisya Zulkifly, 19, yang mayatnya ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh pada 1 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Didakwa Bunuh Mangsa Di Ketereh

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh mangsa antara jam 11.40 malam, 30 April hingga 12.20 tengah malam, 1 Mei di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tetapkan Sebutan Semula Julai Ini

Mahkamah menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan beberapa laporan pakar berkaitan siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan Wan Azimah Yaacob bersama dua Timbalan Pendakwa Raya, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Alias Ibrahim.

Mangsa Ditemui Dengan 61 Kesan Tikaman

Sebelum ini, media melaporkan mayat mangsa ditemui dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum ditinggalkan di Ketereh.

Polis turut menahan beberapa individu termasuk ibu bapa salah seorang suspek bagi membantu siasatan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Sumber/rujukan Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *