Kelantan Perkasa TVET Rabbani, Fokus Lahirkan Tenaga Mahir Berintegriti

Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan nilai Rabbani dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja kompeten, malah berakhlak dan berintegriti.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Mamat berkata, pendekatan TVET di negeri ini tidak terhad kepada kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya turut menekankan pembentukan sahsiah, nilai spiritual serta jati diri.

Menurut beliau, inisiatif ini selari dengan identiti Kelantan sebagai “Serambi Mekah” yang menitikberatkan pembangunan insan seimbang dari segi ilmu, iman dan akhlak.

“TVET kini menjadi pemacu utama pembangunan modal insan dan ekonomi berasaskan kemahiran. Kita mahu melahirkan tenaga kerja yang cekap, amanah serta menjadikan pekerjaan sebagai ibadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Libat Urus Majlis TVET Negeri Kelantan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta penyampaian sijil Akademi Dalam Industri (ADI).

Tambahnya, kerjasama strategik antara kerajaan negeri, agensi, industri dan institusi pendidikan amat penting bagi memastikan latihan yang ditawarkan relevan dengan keperluan pasaran kerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Dalam masa sama, pelaksanaan Akademi Dalam Industri (ADI) dilihat sebagai pendekatan efektif untuk merapatkan jurang antara dunia pendidikan dan industri melalui latihan praktikal secara langsung.

Kerajaan negeri berharap TVET terus menjadi pilihan utama generasi muda sebagai laluan kerjaya, sekali gus melahirkan generasi TVET Rabbani yang mampu memacu ekonomi negeri tanpa mengabaikan nilai agama.

Sumber/rujukan inforakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *