Lebih 1,000 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok berdepan kesukaran apabila bekalan air bersih terputus selama empat hari sejak Jumaat lalu.
Gangguan bekalan air ini memaksa penduduk mencari alternatif termasuk menggunakan air sungai, selain menjejaskan rutin harian seperti mandi, kebersihan diri dan keperluan persekolahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya mengambil tindakan segera dengan memohon bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menghantar bekalan air ke kawasan terjejas.
Sebanyak 10,000 liter air berjaya diagihkan menggunakan lori tangki serta kenderaan pacuan empat roda, khususnya kepada golongan warga emas dan pesakit.
Penduduk turut mempersoalkan ketiadaan notis awal daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), selain mendakwa masalah gangguan air sering berlaku di kawasan tersebut.
Namun, situasi kembali pulih apabila bekalan air bersih dilaporkan kembali disalurkan ke penempatan itu semalam.
Sumber/rujukan Harian Metro
