Projek tanaman buah tin oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) di Ladang Agrovalley Rong Chenok mencatat kejayaan apabila hasil pusingan pertama berjaya dituai.
Pengurus Projek, Muhd Azri Roslin berkata, projek yang bermula pada November 2025 itu menunjukkan perkembangan positif dan kini dibuka kepada orang ramai untuk membeli serta merasai pengalaman memetik sendiri buah tin di ladang.
Menurut beliau, sebanyak 200 pokok buah tin ditanam di dalam rumah hijau menggunakan teknologi pertanian moden, dan pihaknya merancang menambah dua hingga tiga lagi rumah hijau pada masa hadapan.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran PKPNK, Nor Atieqah Aidiee Afandiee memaklumkan harga jualan ditetapkan RM60 sekilogram, dengan anggaran 12 hingga 15 biji buah bagi setiap kilogram bergantung kepada saiz.
Jualan ladang berlangsung sehingga Jun ini dengan waktu operasi dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari.
Projek ini dilihat berpotensi sebagai tanaman komersial jangka panjang kerana buah tin mempunyai jangka hayat antara 15 hingga 20 tahun, sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan industri pertanian negeri.
Sumber/rujukan inforakyat
