Kerajaan Kelantan terus memperkukuh sistem bekalan air negeri menerusi Projek Air Tidak Berhasil (NRW) Nasional dan program penggantian paip yang telah siap dilaksanakan dengan kos keseluruhan RM131.6 juta.
Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud berkata, projek yang dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu bertujuan mengurangkan kehilangan air terawat serta meningkatkan kecekapan sistem bekalan air di seluruh negeri.
Tiga Projek Utama Berjaya Disiapkan
Menurut beliau, projek yang telah siap merangkumi Program NRW Nasional Pakej 1 bernilai RM24.3 juta, projek penggantian paip sepanjang 103 kilometer bernilai RM62.4 juta di Kota Bharu, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai, serta Program NRW Nasional Pakej 2 bernilai RM44.8 juta.
“Projek ini bukan sahaja membantu mengurangkan kadar NRW, malah meningkatkan kecekapan sistem agihan air kepada pengguna,” katanya ketika merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak.
Projek Baharu Dijangka Siap Pada 2027
Mohd Nassuruddin berkata, projek bekalan air bernilai RM79.9 juta kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.
Antara projek tersebut ialah penggantian paip sepanjang 80.5 kilometer di Kota Bharu Utara, Timur dan Selatan serta projek Sistem Retikulasi Paip Negeri Kelantan yang melibatkan kawasan Pasir Puteh dan Kota Bharu Utara.
Transformasi Bekalan Air Menjelang 2030
Selain projek yang sedang berjalan, beberapa kerja naik taraf loji rawatan air di seluruh Kelantan turut dirancang dengan kos RM3.4 juta.
Beliau yakin pelbagai inisiatif yang dilaksanakan akan membawa transformasi besar kepada sektor bekalan air negeri menjelang 2030, sekali gus membolehkan rakyat menikmati bekalan air yang lebih stabil, bersih dan berkualiti serta mengurangkan masalah kebocoran dan gangguan bekalan air.
Sumber/rujukan inforakyat
