Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan kebocoran data peribadinya dengan menghantar Surat Tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada sebuah syarikat telekomunikasi yang didakwa terlibat.
Menerusi hantaran di platform Threads, anak kelahiran Kelantan itu memaklumkan peguamnya telah diarahkan untuk mengendalikan kes berkenaan sehingga selesai, selain beberapa laporan rasmi telah dibuat kepada pihak berkuasa.
Laporan Dibuat Kepada MCMC, Polis Dan JPDP
Khairul Aming berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Beliau berkata tindakan itu bertujuan membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu yang dipercayai menyalahgunakan maklumat peribadinya.
“Peguam saya sudah hantar LOD, laporan rasmi juga telah dibuat kepada MCMC, polis dan JPDP. Peguam saya akan mengambil alih kes ini sehingga selesai,” katanya.
Luah Kebimbangan Isu Privasi
Khairul Aming mengakui berasa sedih dan bimbang apabila maklumat peribadinya didakwa boleh diakses dengan mudah oleh pihak lain.
Menurut beliau, kebocoran itu didakwa melibatkan maklumat seperti nombor telefon, sejarah pembayaran bil, langganan perkhidmatan dan data lain yang bersifat peribadi.
Isu tersebut tercetus selepas seorang pengguna media sosial mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming, termasuk tunggakan serta beberapa perkhidmatan tambahan yang didakwa digunakan.
Menteri Komunikasi Arah Siasatan
Kes itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, yang mengarahkan MCMC mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi tersebut.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius dakwaan berkenaan kerana ia menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman syarikat telekomunikasi serta maklumat pelanggan.
Siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti punca kebocoran data dan memastikan sebarang pelanggaran undang-undang dapat diambil tindakan sewajarnya.
Sumber/rujukan Berita Harian
