JIM Kelantan Tumpaskan Cubaan Seludup 35 PATI Warga Myanmar, Dua Dalang Tempatan Dicekup

Taktik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar bersembunyi di dalam semak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terbongkar apabila ditahan dalam Ops Serkap yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan pada awal pagi Khamis.

Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Garry Belayong Anak John Siki berkata, operasi hasil risikan dan pemantauan Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan itu dilaksanakan di Jalan Kebun Sultan dan Kampung Tal Tujuh.

35 Warga Myanmar Ditahan

Menurut beliau, seramai 35 warga Myanmar terdiri daripada 22 lelaki dan 13 wanita berusia antara 23 hingga 41 tahun berjaya ditahan dalam operasi tersebut.

“Hasil pemantauan mendapati sebahagian PATI sedang menunggu untuk diangkut keluar dari Kelantan menggunakan beberapa kenderaan yang dipercayai dikendalikan sindiket penyeludupan migran,” katanya.

Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar turut menemui 24 warga Myanmar yang bersembunyi di dalam semak bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Dua Lelaki Tempatan Disyaki Dalang Sindiket

Dalam operasi sama, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 45 tahun turut ditahan kerana disyaki menjadi dalang serta memudahkan aktiviti penyeludupan migran.

Turut dirampas tiga kenderaan iaitu Toyota Yaris, Honda Jazz dan Honda CR-V yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.

JIM Tegas Banteras Penyeludupan Migran

Garry berkata, kesemua PATI disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lelaki tempatan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Beliau menegaskan JIM Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan kegiatan mencurigakan melibatkan PATI di kawasan masing-masing.

Sumber/rujukan Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *