KPDN Kelantan Rampas 1.2 Tan Minyak Masak Bersubsidi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya merampas lebih 1.2 tan minyak masak bersubsidi selepas menahan seorang lelaki dalam Op Tiris Bersepadu di Jalan Hulu Masjid Pauh Lima, Kampung Pauh 5, semalam.

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.20 petang selepas pihak KPDN bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Pasir Puteh mengekori kenderaan dipandunya sejauh hampir 30 kilometer bermula dari Tok Bali.

Minyak Masak Pelbagai Jenama Dirampas

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pemeriksaan terhadap Proton Exora yang dipandu suspek menemukan minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dipercayai untuk tujuan penyelewengan.

Menurutnya, suspek mengaku tinggal berhampiran kawasan sempadan dan mendakwa ini kali pertama dia ditahan pihak berkuasa.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan melebihi RM13,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan.

KPDN Perkukuh Operasi Sempadan

Aswadi berkata, KPDN Kelantan akan terus mempergiat operasi dan risikan bersama agensi penguat kuasa lain terutama di kawasan sempadan dan laluan panas bagi membanteras kegiatan penyeludupan barang kawalan bersubsidi.

Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan bekalan barangan keperluan rakyat sentiasa mencukupi serta mengelakkan ketirisan subsidi negara.

Sumber/rujukan Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *