Lebih 3,000 penduduk di Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 merayu agar jalan utama di kawasan tanah rancangan itu diturap semula selepas mendakwa laluan berkenaan tidak pernah diturap baharu sejak lebih 40 tahun lalu.
Penduduk mendakwa, selama ini jalan terbabit hanya dibaiki secara tampalan apabila berlaku kerosakan dan lubang di permukaan jalan.
Jalan Rosak Undang Risiko Kemalangan
Pengerusi Belia Felda Chiku 2, Muhammad Zaidatul Azizi Mohd Zaidatul Azman berkata, keadaan jalan yang rosak dan tidak rata sering menyebabkan kemalangan terutama melibatkan penunggang motosikal.
Menurut beliau, jalan tersebut merupakan laluan utama penduduk Felda Chiku 1, Felda Chiku 2 dan Felda Perasu untuk ke kilang sawit selain urusan harian seperti menghantar anak ke sekolah dan keluar bekerja.
“Setiap hari pelbagai kenderaan menggunakan jalan ini terutama pada awal pagi. Jalan rosak menyebabkan pengguna terdedah kepada risiko kemalangan,” katanya.
Penunggang Motosikal Antara Paling Terjejas
Beliau berkata, sudah banyak kemalangan berlaku apabila motosikal terbabas akibat jalan berlubang dan permukaan yang tidak rata.
Katanya, wakil peneroka sebelum ini sudah mengemukakan permohonan bagi menurap semula jalan tersebut dan berharap tindakan segera dapat diambil pihak berkaitan.
Penduduk Dakwa Jalan Tidak Pernah Diturap Baharu
Seorang penduduk, Hamid Mat Hasan, 64, berkata, sepanjang 40 tahun menetap di Felda itu, jalan utama berkenaan tidak pernah diturap semula sepenuhnya.
Menurut beliau, keadaan struktur jalan yang semakin rosak bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna malah menyebabkan kerosakan kenderaan sehingga penduduk terpaksa menanggung kos pembaikan tinggi.
“Saya harap jalan ini dapat diturap semula demi keselamatan dan keselesaan penduduk kerana ia laluan utama masyarakat di sini,” katanya.
Penduduk Harap Tindakan Segera
Penduduk berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan kerja menaik taraf jalan di kawasan Felda Chiku bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan meningkatkan keselesaan penduduk setempat.
Sumber/rujukan Harian Metro
