Kes Kebakaran Terbuka Di Kelantan Meningkat, Kos Operasi JBPM Cecah RM217,000

Peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka di Kelantan sejak awal Mac lalu menyebabkan kos operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan meningkat ketara.

Farhan Sufyan Borhan berkata, penggunaan diesel jabatan itu yang lazimnya sekitar RM45,000 hingga RM60,000 sebulan melonjak kepada RM120,000 pada Mac dan mencecah RM217,000 pada April lalu.

Lebih 2,000 Panggilan Kebakaran Terbuka Direkodkan

Menurut beliau, JBPM Kelantan menerima lebih 2,000 panggilan berkaitan kebakaran terbuka sepanjang April lalu berbanding hanya 199 panggilan direkodkan sepanjang tahun lalu.

Kebakaran belukar mencatat jumlah tertinggi dengan 1,575 kes, diikuti kebakaran hutan sebanyak 238 kes, sampah (99) dan kebun (37).

Aktiviti Pembakaran Punca Utama Kebakaran

Katanya, kebanyakan kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka bagi tujuan pembersihan kawasan dan pembukaan tanah pertanian sebelum api merebak ke kawasan lain.

Antara daerah paling terjejas ialah Kota Bharu dengan 522 kes, diikuti Bachok sebanyak 357 kes dan Pasir Mas 252 kes.

Kebakaran Tanah Gambut Paling Sukar Dipadam

Farhan berkata, kebakaran kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah merupakan antara operasi paling mencabar kerana memerlukan tempoh lama untuk dipadam selain penggunaan air dan aset yang tinggi.

Beliau berkata, terdapat operasi pemadaman yang mengambil masa sehingga 10 hari di kawasan tanah gambut dan lapan hari di tapak pelupusan sampah di Tanah Merah.

JBPM Mahu Penguatkuasaan Dipertingkat

Susulan peningkatan kes, JBPM Kelantan mencadangkan pendekatan penguatkuasaan dipertingkat termasuk tindakan kompaun terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka.

JBPM turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung aktiviti pembakaran terbuka di negeri itu.

Sumber/rujukan Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *