Pelaksanaan Fasa 1 Projek Tok Bali Industrial Park (TBIP) di bawah East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) kini giat diteruskan melibatkan kerja tanah serta penyediaan infrastruktur asas kawasan industri.
Status semasa projek menunjukkan berlaku sedikit kelewatan berbanding jadual asal susulan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga bahan api, kos mobilisasi jentera berat dan gangguan rantaian bekalan bahan binaan.
Langkah Mitigasi Sedang Dilaksanakan
Bagaimanapun, beberapa langkah pembetulan dan mitigasi sedang dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kemajuan projek kembali stabil.
Antara usaha yang diambil termasuk penyusunan semula jadual kerja, pengoptimuman penggunaan jentera serta penambahbaikan kaedah pelaksanaan projek di tapak.
TBIP Jadi Destinasi Pelaburan Strategik
Tok Bali Industrial Park dibangunkan sebagai destinasi pelaburan baharu berpotensi tinggi untuk pelabur tempatan dan asing khususnya dalam sektor pembuatan am dan aktiviti hiliran pertanian.
Dengan keluasan kira-kira 81 hektar, TBIP dibangunkan sebagai taman industri berinfrastruktur lengkap yang membolehkan pelabur memulakan operasi dengan lebih cepat dan efisien.
Disokong Infrastruktur Utama Pantai Timur
Kedudukan strategik TBIP turut diperkukuhkan menerusi jaringan infrastruktur utama seperti Central Spine Road (CSR), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dan Tok Bali Supply Base.
Selain itu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang sedang dinaik taraf sebagai lapangan terbang serantau dijangka meningkatkan aksesibiliti serta mobiliti ke kawasan industri tersebut.
Sumber/rujukan FB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan
