Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan akan meneliti secara menyeluruh kes melibatkan seorang guru yang dipercayai merempuh dua pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas sebelum sebarang keputusan pendakwaan dibuat.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya masih menunggu kertas siasatan lengkap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum menentukan seksyen pertuduhan yang sesuai.
Menurut beliau, siasatan dijangka dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berikutan insiden tersebut melibatkan kematian.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh kenderaan dipandu guru wanita berusia 57 tahun.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu tertekan pedal minyak sebelum kenderaan terbabas dan melanggar mangsa di hadapan surau sekolah.
Guru berkenaan kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut masih dijalankan.
Sumber/rujukan Berita Harian
