“No Entry, No Paperwork” Kawalan Sempadan Kukuh Kunci Keselamatan Negara Dan Keharmonian Masyarakat

Kawalan sempadan negara perlu diperkukuhkan bagi mengekang kemasukan pelarian dan pendatang tanpa dokumen secara tidak terkawal demi menjamin keselamatan negara, keharmonian masyarakat serta kedaulatan undang-undang.

Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, isu pelarian tidak boleh lagi ditangani sekadar menguruskan kesan yang timbul, sebaliknya memerlukan pendekatan pencegahan yang lebih menyeluruh di semua pintu masuk negara.

Menurut beliau, prinsip “no entry, no paperwork” perlu diberi perhatian bagi memastikan masalah tersebut dapat ditangani dari punca sebenar.

Tutup Kelemahan Di Pintu Sempadan

Beliau menegaskan kerajaan perlu menutup segala kelemahan yang membuka ruang kepada kemasukan pelarian dan pendatang tanpa dokumen selain mempercepatkan proses penempatan semula mereka ke negara ketiga.

“Langkah ini penting bagi memastikan isu pelarian dapat diuruskan secara lebih berkesan tanpa menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara,” katanya.

Penempatan Ke Negara Ketiga Solusi Jangka Panjang

Menurut Mumtaz, penempatan semula pelarian ke negara ketiga merupakan antara penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan.

Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan beban negara, malah mampu memutuskan rangkaian sindiket pemerdagangan manusia dan eksploitasi migran yang mengambil kesempatan terhadap golongan pelarian.

Kemanusiaan Dan Kedaulatan Undang-Undang Perlu Seimbang

Beliau berkata, walaupun Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951, prinsip kemanusiaan tetap perlu dihormati termasuk prinsip non-refoulement yang melindungi pelarian daripada dihantar pulang ke kawasan berisiko.

Bagaimanapun, beliau menegaskan status pelarian tidak memberikan sebarang pengecualian daripada pematuhan undang-undang negara.

“Setiap individu yang berada di Malaysia wajib menghormati dan tertakluk kepada kedaulatan undang-undang tempatan,” katanya.

Kerjasama Antarabangsa Perlu Diperkasa

Dalam masa sama, beliau menyeru komuniti antarabangsa termasuk ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan lebih aktif dalam berkongsi tanggungjawab menangani isu pelarian.

Katanya, keseimbangan antara pertimbangan kemanusiaan, keselamatan negara dan kedaulatan undang-undang perlu terus dipelihara bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan keharmonian masyarakat kekal terjamin.

Sumber/rujukan inforakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *