Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak yang dibangunkan dengan kos RM70.76 juta dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di sekitar Gua Musang melalui bekalan air bersih yang lebih stabil dan berkualiti.
Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Jaseni Maidinsa berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh PAAB itu merupakan loji rawatan air pertama syarikat berkenaan di Kelantan hasil kerjasama dengan kerajaan negeri dan Air Kelantan Sdn Bhd.
Tingkat Rizab Bekalan Air Di Gua Musang
Menurut beliau, loji berkapasiti 10 juta liter sehari itu dibangunkan bagi mengatasi masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk sejak sekian lama.
Katanya, projek tersebut turut meningkatkan rizab bekalan air di kawasan berkenaan kepada lima peratus berbanding sifar sebelum ini, sekali gus membantu memastikan bekalan lebih stabil terutama ketika musim kemarau dan musim perayaan.
Teknologi Moden Tingkat Kecekapan Operasi
LRA Bukit Chupak dilengkapi teknologi rawatan air moden termasuk sistem flexible low weir gate yang mampu meningkatkan kedalaman sungai sehingga 0.75 meter bagi memastikan sumber air mentah mencukupi sepanjang tahun.
Loji itu juga menggunakan Sistem SCADA yang membolehkan pemantauan dan kawalan operasi dilakukan secara lebih cekap bagi menjamin kualiti bekalan air kepada pengguna.
PAAB Terus Perkukuh Infrastruktur Air Kelantan
Jaseni berkata, PAAB akan terus komited memperkukuh pembangunan infrastruktur bekalan air di Kelantan menerusi beberapa projek lain termasuk LRA Chicha 2 dan LRA Tok Bali.
Sehingga Mei lalu, jumlah pembiayaan PAAB bagi projek bekalan air di Kelantan telah mencecah RM1.63 bilion melibatkan projek yang siap, sedang dibina dan dalam perancangan.
Majlis perasmian LRA Bukit Chupak telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem bekalan air negeri demi kesejahteraan rakyat.
Sumber/rujukan Berita Harian
