Kedatangan semula pendakwah terkenal Nusantara, Abdul Somad ke Kelantan dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung apabila beliau bakal mengisi dua program utama di Tumpat dan Rantau Panjang pada 14 dan 15 Mei ini.
Program Pidato Perdana Da’i Nusantara akan berlangsung di Pantai Sri Tujuh, Tumpat bermula jam 6.30 petang dengan pengisian solat hajat, munajat dan kuliah Maghrib oleh pendakwah bebas Mokhtar Yaakob.
Turut dijadual menyampaikan tausiyah khas ialah Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud serta bekas Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.
Selain itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan dan Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat turut dijangka hadir memeriahkan program berkenaan.
Kuliah Perdana Di Masjid Beijing
Sementara itu, kuliah perdana bersama Abdul Somad akan diteruskan di Masjid Beijing pada 15 Mei bermula jam 8.30 pagi.
Pesta Wau Kebangsaan Kelantan Kembali Gegar Pantai Irama
Dalam perkembangan lain, Pesta Wau Kebangsaan Kelantan akan berlangsung di Pantai Irama dari 20 hingga 23 Mei 2026 dengan penyertaan peserta dari 10 negara termasuk Thailand, Amerika Syarikat, China, Brunei Darussalam, Filipina dan Macao.
Pesta tahunan itu bakal menampilkan pelbagai acara menarik termasuk pertunjukan wau gergasi, wau bulan, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan melukis serta pertandingan Memasak Adabi Paling Power yang terbuka kepada orang ramai.
Festival tersebut dijangka menjadi antara tarikan pelancongan utama di Kelantan sepanjang Mei ini dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
Sumber/rujukan Media point
