Pengeluaran padi di Kelantan kekal stabil walaupun berdepan cuaca kering dan fenomena El Nino, hasil daripada persediaan awal serta langkah mitigasi yang dilaksanakan secara bersepadu.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, setakat ini pengeluaran padi telah melepasi tahap Sara Diri (SSL), dengan hampir 90 peratus kawasan penanaman selesai dituai atau berada di peringkat akhir sebelum kemarau memuncak.
Menurut beliau, walaupun terdapat beberapa kawasan yang terjejas akibat kekurangan air, kesannya tidak ketara dan masih dalam keadaan terkawal.
Kerajaan negeri turut memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi menyalurkan maklumat cuaca terkini kepada petani, sekali gus membantu perancangan jadual penanaman yang lebih efektif.
Selain itu, kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu membolehkan air dari Sungai Kelantan disalurkan ke kawasan sawah bagi memastikan bekalan air mencukupi.
Pelbagai langkah intervensi turut dilaksanakan termasuk pengagihan pam air bergerak serta bantuan melalui inisiatif Sejahtera Tani bagi membantu pesawah menghadapi cabaran kenaikan kos diesel, baja dan racun.
Langkah proaktif ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sektor pertanian terus mampan serta menjamin bekalan makanan mencukupi walaupun berdepan cabaran perubahan iklim.
Sumber/rujukan inforakyat
